“Saya baru luluskan bantuan untuk Kerajaan Negeri Kelantan” – Guan Eng

Posted on 3 views
Walaupun pemimpin PAS sering menyerang pemimpin Pakatan Harapan (PH), kerajaan Persekutuan yang diterajui gabungan itu masih tetap menyalurkan dana kepada kerajaan negeri yang ditadbir parti Islam itu.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji penjawat awamnya sehingga memerlukan suntikan dana daripada Putrajaya.

“Ianya benar kerajaan Kelantan tidak mampu bayar gaji (penjawat awam).

“Ini sudah lama berlaku. Baru-baru ini, saya sudah luluskan peruntukan untuk membantu kerajaan negeri Kelantan,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Guan Eng, tanpa Bantuan Kewangan Defisit daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya.

“Hanya kerajaan negeri Kelantan yang merekodkan defisit dalam akaun mengurus untuk lebih lima tahun berturut-turut,” katanya.

Guan Eng berkata demikian mengulas desakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan agar menarik balik kenyataan yang disifatkannya sebagai menghina negeri tersebut.

Terdahulu, Takiyuddin bertanya di Parlimen sama ada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu boleh mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika ia dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan.

Guan Eng berkata beliau perlu menunggu surat rasmi jika kerajaan negeri berminat untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun mempersoal kemampuan Kelantan untuk mengambil alih projek berkenaan sedangkan kerajaan negeri sendiri tidak mempunyai dana yang cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

Jawapan jujur itu bagaimanapun tidak disenangi pemimpin pembangkang terutama Takiyuddin yang mendesak agak Guan Eng menarik balik kenyataan itu.

Menurut Guan Eng, beliau hanya mengulangi apa yang pernah disebut oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tahap kritikal kewangan negeri Kelantan.

Katanya, Najib ketika masih menjadi perdana menteri pernah berkata bahawa kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya tanpa suntikan dana dari Putrajaya.

Najib sebelum ini berkata kerajaan PAS Kelantan tidak mampu menangung bayaran kepada penjawat awam walaupun negeri tersebut merupakan negeri defisit rendah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.