Marah Dilanggar Hidung, Ramos Tendang Bola Ke Arah Pemain Muda

Posted on 3 views
Kapten Real Madrid, Sergio Ramos terpaksa mengeluarkan satu kenyataan melalui akaun twitter miliknya selepas rakaman video beliau sengaja menendang bola ke arah seorang pemain muda ketika latihan menjadi tular.

Sebelum itu pemain pertahanan Sepanyol itu terbabit dalam satu insiden yang tidak disengajakan membabitkan pemain muda, Sergio Reguilon dalam sesi latihan terbuka dengan kehadiran media.

Dalam sesi latihan menjelang perlawanan UEFA Champions League menentang Viktoria Plzen itu, Reguilon terlanggar hidung Ramos ketika sesi pemanas badan.

Marah dengan tindakan pemain berusia 21 tahun itu, Ramos dilihat sengaja menyepak bola ke arah pemain tersebut sebanyak dua kali sebagai reaksi balas.

Bagaimanapun tindakan oleh Ramos tidak dipedulikan oleh Reguilon dan rakan sepasukan Real Madrid yang lain, sekaligus mengelakkan pertengkaran atau pergaduhan dari berlaku.

Berita mengenai insiden membabitkan Ramos itu pantas menjadi tular berikutan suasana tegang selepas prestasi kurang memberangsangkan, dan khabar angin pemecatan Julen Lopetegui.

Untuk meredakan suasana, kapten Los Blancos itu kemudiannya berkata melalui akaun twitternya:

“Ia tidak seperti yang ramai fikirkan. Ia sebenarnya situasi biasa. Tetapi ia bukan alasan. Saya tidak patut memberikan reaksi begitu.

“Kami sedia memberikan yang terbaik (ketika latihan). Bukankah begitu Regui? Pengakhirannya ialah menang sebagai sebuah pasukan.,” tulis Ramos.

Twitter itu kemudian dengan pantas dibalas oleh Reguilon yang menjawab:

“Saya sentiasa menyokong pasukan dan kapten saya. Ayuh kita buru kemenangan esok hari!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.