Lionel Messi Disahkan Patah Lengan Kanan Dan Perlu Berehat Panjang

Posted on 3 views
Malang menimpa bintang Barcelona, Lionel Messi apabila bakal terlepas aksi Liga selama tiga minggu, selepas disahkan patah lengan kanan ketika membantu kelab itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Sevilla, pagi tadi.

Susulan daripada kecederaan itu, Messi sudah pasti tidak akan diturunkan untuk perlawanan ‘ El-Clasico’ menentang seteru utama, Real Madrid pada 28 Oktober ini.

Ousmane Dembele menggantikan Messi pada minit ke-25, selepas pemain Argentina itu diperiksa oleh doktor kelab di tepi padang ekoran pertembungan dengan pemain Sevilla, Franco Vazquez.

Messi yang membantu gol pembukaan dijaringkan Philippe Coutinho pada minit kedua dan meledak gol kedua pasukan, dilihat mengalami menderita kesakitan, meninggalkan padang dengan lengan kanannya berbalut.

“Apa yang jelas, ia boleh dikatakan satu kehilangan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Kami tahu apa yang diberikannya kepada kami dan apa yang kami terlepas apabila dia tidak ada bersama kami. Kami perlu mengharunginya dan kami akan bersedia.

“Adalah jelas yang kami perlu akur dengan ketiadaannya, tetapi kami akan cuba membiasakan diri. Kami mempunyai sumber, biarpun kami akan berdepan beberapa pasukan yang sangat sukar.”

Selain aksi ‘Clasico’, penjaring sepanjang zaman Barca itu juga tidak boleh diturunkan untuk perlawanan Liga Juara-Juara, Rabu ini menentang Inter Milan di laman sendiri dan aksi timbal balik di Milan, 6 November depan.

Pertahanan Barca, Gerard Pique mengakui ketiadaan Messi akan membawa impak kepada pasukan tetapi percaya pasukan dapat mengharungi beberapa perlawanan selepas ini tanpa terlepas banyak mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.