AXIS-O2 PJ FC Berpesta Gol Di Subang Jaya, Tundukkan Banting Naga FC 5-0

Posted on 4 views
Axis-O2 PJ FC berpesta jaringan selepas menumpaskan Banting Naga FC 5-0 dalam saingan kumpulan A Selangor Champions League 2018 yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya, malam tadi.

Axis-O2 PJ FC yang merupakan juara bertahan hanya memerlukan seminit sahaja untuk membuka jaringan selepas penyerang sensasi, Desmond Amadi Apaoma merembat masuk bola hasil hantaran menerusi tandukan oleh Muhammad Farhan Khairul Anuar.

Muhammad Adli Zulgafli menambah tekanan buat Banting Naga FC dengan jaringan kedua pada minit ke-12 selepas beliau dengan tenang menyempurnakan peluang setelah mendapat umpanan cantik dari Desmond.

Berselang tujuh minit kemudian, Adli sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring ketiga apabila beliau menerima hantaran lambung cantik dari pertahanan, melakukan percubaan susulan selepas rembatan awalnya terlebih dahulu ditepis penjaga gol Banting Naga FC, Okebaram Promise.

Pemain sayap lincah Axis-O2, Shafeez Ibrahim hampir menjadikan kedudukan 4-0 namun rembatan hasil gerakan solo beliau sekadar terkena palang gol untuk terselamat pintu gol Banting Naga FC buat seketika.

Desmond menambah jaringan kedua peribadi berselang dua minit selepas perlawanan kembali bersambung setelah sepakan percuma leret yang diambil Lucky Ogu berjaya disudahkan dengan kemas oleh pemain kelahiran Nigeria itu.

Sama seperti yang berlaku pada tiga perlawanan sebelum ini melibatkan Axis-O2 PJ FC, Desmond jelas memainkan peranan sangat penting buat pasukan.

Ia dibuktikan apabila Desmond membuka ruang dengan melakukan hantaran lambung cantik buat Farhan Khairul Anuar yang tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol kelima pada minit ke-57.

Kejayaan menewaskan Banting Naga FC ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat Axis-O2 FC untuk memperoleh 10 mata.

Banting Naga FC pula kini mengumpul empat mata selepas mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan selepas mengharungi lima perlawanan.

Pemain terbaik perlawanan: Desmond Amadi Apaoma (Axis-O2 PJ FC)

 

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.