APA MOTIF HISHAM MAHU BAWA JHO LOW PULANG?

Posted on 3 views
Penganalisis mempersoalkan motif Hishammuddin Hussein selepas bekas menteri pertahanan itu menawarkan diri untuk memburu Low Taek Jho aka Jho Low di China.

Tindakan Hishammuddin boleh dilihat cuba meraih sokongan kerajaan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata pakar sains politik James Chin dan Awang Azman seperti dilapor akhbar South China Morning Post hari ini.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata usaha memburu Low, ahli perniagaan didakwa jadi dalang skandal 1MDB akan dibuat dalam kapasiti peribadinya dan tidak mewakili kerajaan Malaysia.

Katanya: “Saya kena teruskan… Saya tak terikat dengan permintaan dari mana mana pihak. Ini (atas kapasiti) peribadi.

“Daripada dulu lagi saya nak tahu hujung pangkal kebenaran dan penyelesaiannya dalam kes 1MDB. Bukan satu perkara yang mudah, ia cukup kompleks.”

Chin dari Institut Asia Tasmania University memberitahu SCMP “jika anda (Hishammuddin) mahu menangkap orang ini, anda sudah lakukan lama dahulu,” serta menegaskan yang China tidak akan menyerahkan Low dengan mudah sekiranya benar orang buruan itu berlindung di negara tersebut.

Hishammuddin adalah salah seorang ahli Kabinet Barisan Nasional yang diterajui sepupunya, Najib Razak.

Najib kini berdepan 32 pertuduhan, 25 daripadanya berkaitan dengan “derma” RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dan tujuh pertuduhan lain berkaitan dengan RM42 juta diterima daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Awang daripada Akademi Pengajian Melayu UM pula mempersoalkan sama ada Hishammuddin “cuba memenangi (hati) Dr Mahathir dan menunjuk-nunjuk kemampuannya”.

“Bagaimanapun, tindakan ini mungkin merendahkan kedudukan Menteri Luar Saifuddin Abdullah jika beliau kelihatan tidak cekap mengesan Jho Low yang boleh memalukan Kabinet,” katanya dipetik berkata.

Bagaimanapun, kata Awang lagi, Hishammuddin boleh menjadi pihak berkecuali susulan hubungan Putrajaya dengan Beijing yang goyah kerana pembatalan beberapa projek mega China di Malaysia.

Julai lalu, Ketua Polis Negara Fuzi Harun menafikan laporan yang Low sudah ditahan pihak berkuasa China sebaliknya orang buruan itu masih bebas dan lokasinya tidak diketahui. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.