Skuad Negara Lepasi Ranjau Berliku Untuk Layak Ke Final

Posted on 7 views
Skuad negara menempah aksi final Kejuaraan Futsal AFF 2018 di Jogjakarta selepas berjaya menundukkan Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ketika aksi sebenar perlawanan berkesudahan terikat 2-2.

Separuh masa pertama

Skuad negara yang memiliki rekod pertemuan lebih baik menentang Vietnam dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini bermula garang dengan serangan berbahaya dicipta Khairul Effendy Mohd Bahrin pada minit pertama.

Sepakan tonjol yang diledakkan kapten Malaysia itu bagaimanapun berjaya dihalang penjaga gol Vietnam, Ho Van Y.

Kem skuad negara melonjak ceria pada minit ke-5 apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas.

Pemain muda, Ahmad Harith Naim yang mengawal bola dengan baik melakukan lorongan kemas kepada Mohd Azwann Ismail yang tidak melepaskan peluang bagi menjadikan keputusan 1-0.

Selepas jaringan tersebut, Vietnam kelihatan lebih bernafsu untuk mencipta jaringan dengan serangan bertali arus ke kubu skuad negara.

Anak buah Chiew Chun Yong pula dilihat mengharapkan kepada hantaran jauh yang mudah dipatahkan pemain lawan.

Separuh masa kedua

Memasuki separuh masa kedua, pemain negara kembali menggandakan asakan dalam usaha melebarkan kedudukan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-26 menerusi Muhammad Azri Rahman.

Azri yang mendapat hantaran jauh dari rakan sepasukan dengan tenang melakukan percubaan dari sebelah kanan pintu gol Vietnam yang melepasi celah kaki Ho Van untuk gol kedua Malaysia.

Vietnam yang terkenal dengan semangat juang tinggi para pemainnya merapatkan jurang pada minit ke-30 selepas Vu Quoc Hung yang tidak dikawal melepaskan rembatan untuk menewaskan Azrul Hadee.

Asakan berterusan oleh Vietnam selepas jaringan tersebut sememangnya membuatkan skuad negara berada dalam kegusaran, namun ketumpulan penyudah jelas menyelamatkan keadaan.

Pengendali Vietnam, Miguel Rodrigo mengubah taktikal dengan permainan ‘powerplay’ ketika perlawanan hanya berbaki enam minit sahaja lagi bagi mendapatkan jaringan penyamaan.

Ketika skuad negara semakin menghampiri aksi final dengan lebih awal, Nguyen Thanh Tin menghampakan Khairul Effendy dan rakan sepasukan hasil jaringan ketika perlawanan hanya berbaki 20 saat sahaja bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.