RMS & Bekas Naib Presiden KAFA Dilantik, FA Selangor Anggap EGM Tidak Sah

Posted on 11 views
Tiga nama lama dikekalkan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas berakhirnya satu kongres luar biasa (EGM) di Hotel Nouvelle pada malam tadi.

Selain Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kekal menjadi presiden, dua nama lain yang turut dilantik kembali melalui EGM itu ialah Datuk Ariffin Abdul Hamid dan Omar Ali yang dilantik sebagai Naib Presiden.

EGM yang berlangsung itu telah mendapat persetujuan 52 ahli gabungan dan dikatakan telah menepati artikel 34.1 statut perlembagaan FAS.

Foto: Selangor FA

Berdasarkan perlembagaan FAS, EGM yang berlangsung semalam memerlukan 50% (tambah 1) sokongan ahli gabungan untuk diteruskan.

Berdasarkan kehadiran semalam seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, EGM tersebut menetima 52 sokongan daripada keseluruhan 96 ahli gabungan yang berdaftar dengan badan induk bola sepak Selangor itu.

Namun demikian, tidak dapat dipastikan kesahihan wakil gabungan yang hadir di EGM tersebut, sama ada mereka adalah wakil sah atau sebaliknya.

Antara yang turut berada dilantik di dalam EGM semalam juga ialah bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang kini bergelar Timbalan Presiden FAS yang baharu.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah. STR/MUHAMMAD SULAIMAN

13 nama turut dipilih menganggotai  Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Dalam perkembangan lain, FAS turut menegaskan perjumpaan tersebut yang didakwa sebagai kongres luar biasa sebagai tidak sah, tidak teratur, dan tidak diakui oleh pihak FAS di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Malah satu pertemuan membabitkan pihak terbabit, wakil FAS bersama Pesuruhjaya Sukan dengan disaksikan FAM telah diadakan pada 7 November, iaitu sehari sebelum EGM tersebut diadakan.

Pesuruhjaya Sukan turut telah menyimpulkan bahawa panggilan untuk mengadakan EGM tersebut sebagai tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di dalam Artikel 30 1(b) Statut FAS 2010; dan tidak berpatutan.

Langkah dan tindakan pihak terbabit tetap meneruskan EGM tersebut bagaimanapun menjadi tanda tanya selepas Raja Muda Selangor sebelum ini secara terbuka enggan melayan desakan berbuat demikian oleh pihak tersebut, dan selepas disahkan oleh Pesuruhjaya Sukan sebagai tidak berpatutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.