Penyokong Selangor Tak Perlu Risau Dengan ‘Geng EGM’

Posted on 2 views
Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi jaminan kepada penyokong Selangor bahawa mereka tidak perlu risau dengan percubaan ‘rampasan kuasa’ daripada golongan yang mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) FAS pada malam 8 November lepas.

“EGM tersebut tidak sah kerana tidak mengikut statut [FAS]. Beta tidak memberi perkenan kepada apa yang berlaku malam itu,” umum baginda ketika memulakan sidang media di Istana Mestika petang tadi.

Baginda turut menambah: “Ketika beta sedang berusaha untuk mengurangkan hutang, memperbetulkan prosedur-prosedur operasi persatuan dan mempersiapkan pasukan untuk musim hadapan, ada pula orang yang cuba buat kacau, nak rebut jawatan dan bermain politik.”

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu turut memberitahu baginda sentiasa berkomunikasi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pesuruhjaya Sukan mengenai ‘EGM haram’ tersebut. “Kami sudah memberikan bukti-bukti kepada FAM dan Pesuruhjaya Sukan. Oleh sebab itulah kami yakin EGM tersebut haram.”

Tengku Amir turut memberitahu media bahawa baginda telah memerintahkan Omar Ali, Roslin Shariff dan kelompok ‘pemberontak’ ini untuk datang mengadap di istana sebelum EGM haram tersebut berlangsung. “Tetapi mereka tidak datang. Pada 25 Oktober lepas, Exco FAS telah memecat Omar Ali mengikut statut FAS. Tetapi kita boleh lihat beliau pula dilantik menjadi naib presiden [ketika EGM]. Betulkah mereka ini betul-betul ikhlas [berkhidmat untuk FAS]?” soal baginda.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam sidang media yang sama turut menjelaskan beliau telah berkomunikasi dengan Omar Ali dalam usaha untuk mencapai kerjasama dan persetujuan bersama.

“Kami telah menawarkan beliau jawatan Pengarah Teknikal FAS kerana kami menghargai pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan akar umbi. Tetapi beliau menolak,” dedah Johan.

Omar Ali merupakan bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Selangor. Dalam EGM haram yang diadakan pada malam 8 November lepas, beliau dilantik sebagai naib presiden dan setiausaha agung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.